KUCHING (HarryIlias): Pusat Skuasy Sarawak yang terletak di Kompleks Stadium Sarawak telah siap dibina dan bersedia untuk menganjurkan acara tersebut pada SUKMA XVIII yang akan berlangsung dari 23 hingga 28 Julai 2016.
Dibina dengan kos berjumlah RM7.4 juta, pusat skuasy tersebut merupakan satu-satunya fasiliti dibina oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi tujuan penganjuran SUKMA pada bulan depan.
Ia dilengkapi dengan lapan gelanggang termasuk empat gelanggang untuk acara beregu, bilik persalinan, bilik mesyuarat, tempat duduk yang mampu memuatkan seramai 200 penonton dan 59 tempat letak kereta.
Majlis penyerahan fasiliti terkini itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Nik Abdul Kadir Nik Mohamad semalam.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti (KBSS) Kameri Affandi, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Sarawak Abdul Haris Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Dr Ong Kong Swee dan Presiden Persatuan Raket Skuasy Sara-wak (SRAS) Robert Lau Hui Yew.
Dalam ucapannya, Abdul Kadir berharap Sarawak akan memanfaatkan sepenuhnya fasiliti tersebut untuk melahirkan lebih ramai pemain skuasy yang dapat mengharumkan negara.
“Saya harap dengan adanya gelanggang skuasy ini satu hari kelak Sarawak akan ada pengganti bekas jaguh negara (Azlan Iskandar).
“Azlan semasa eranya hanya berlatih di gelanggang kelab sahaja namun berjaya muncul sebagai 10 pemain terbaik dunia, pernah menang semasa Sukan SEA dan SUKMA,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata gelanggang skuasy mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Skuasy Dunia bagi membolehkannya digunakan untuk menganjur pertandingan per-ingkat kebangsaan di situ.
Tambahnya, KBS akan menyerahkan gelanggang tersebut sepenuhnya kepada kerajaan negeri selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, Kameri yakin penganjuran acara skuasy pada SUKMA XVIII akan berjalan dengan lancar dengan adanya gelanggang baharu tersebut.
Tambah beliau, sebaik SUKMA berakhir fasiliti itu akan digunakan bagi menggerakkan program pembangunan skuasy di peringkat akar umbi dengan harapan Sarawak dapat melahirkan lebih ramai pemain yang dapat mewakili negara satu hari kelak. -UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment