Saturday, 2 July 2016

Sokongan KBS amat diperlukan untuk realisasi impian sekolah sukan di Sarawak -Kameri


KUCHING: Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti (KBSS), Kameri Affandi berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat merealisasikan impian Sarawak menubuhkan sekolah sukan di negeri ini.

Menurutnya, Sarawak amat memerlukan sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Sekolah Sukan Bandar Penawar Johor untuk merancakkan program pembangunan atlet-atlet negeri ini.

“Saya tahu pembinaan sekolah sukan bukan di bawah bidang kuasa KBS namun sekurang-kurangnya kementerian dapat membantu mencadangkan kepada kementerian berwajib (Kementerian Pendidikan) untuk meluluskan permintaan kita,” katanya pada majlis penyerahan Pusat Skuasy Sarawak yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Nik Abdul Kadir Nik Mohamad kelmarin.

Kameri berkata, ketiadaan sekolah sukan di sini menyukarkan atlet-atlet berpotensi mengembangkan bakat-bakat mereka kerana terpaksa berpisah dengan keluarga berhijrah ke Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, Sarawak wajar mempunyai sekolah sukan sendiri kerana kejayaannya melahirkan ramai atlet yang berjaya mengharumkan nama negara sehingga ke peringkat dunia.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata KBS akan membantu sebaik mungkin memastikan Sarawak mempunyai sekolah sukannya sendiri pada suatu hari nanti.

“Walaupun KBS tidak bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembinaan sekolah sukan, saya faham dengan kehendak Sarawak dan kementerian akan membantu sebaik mungkin dalam merealisaikan perkara tersebut,” katanya. -UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment