Monday, 4 July 2016

David diberi penghormatan sebagai ketua jurulatih FAS

MESRA: Sudarsono bersama pengurusan FAS pada Majlis Berbuka Puasa bersama pemain-pemain bola sepak Sarawak dan Exco FAS anjuran Lea Sports Centre di BCCK malam kelmarin.
KUCHING: Spekulasi siapa yang bakal mengendalikan skuad Sarawak terjawab apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman mengesahkan pelantikan David Usop sebagai ketua jurulatih berkuat kuasa serta-merta.

Beliau mengumumkan perkara itu pada Majlis Berbuka Puasa bersama pemainpemain bola sepak Sarawak dan Exco FAS anjuran Lea Sports Centre di BCCK di sini malam kelmarin.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa FAS telah memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada David (Usop) sebagai ketua jurulatih dan bukan lagi jurulatih sementara,” katanya pada majlis itu malam kelmarin.

Sudarsono berkata, beliau telah berbincang dengan David dan beliau bersedia menyahut cabaran tersebut.

Jika beliau gagal memberikan apa yang diharapkan kita akan memikirkan langkah seterusnya seperti mana jurulatih sebelum ini.

“Kita berharap di bawah kendalian David, Sarawak dapat memperbaiki kedudukan pada pusingan kedua Liga Super dan saingan Piala Malaysia nanti,” ujarnya.

David sebelum ini dilantik sebagai jurulatih ‘interim’ Sarawak berikutan pelepasan ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal.

Dalam perkembangan sama, Sudarsono turut mengesahkan FAS sedang dalam proses melengkapkan perpindahan pemain pertahanan dari Liberia, Teah Dennis.

Menurutnya, persembahan Teah dalam dua aksi persahabatan di Semenanjung Malaysia baru-baru ini mendapat komen positif daripada barisan jurulatih Sarawak.

“FAS bersetuju untuk menawarkan kontrak kepada Teah (Dennis) dan sedang dalam proses untuk mendaftar pemain itu.

“Teah seorang pemain pertahanan tengah yang berkualiti selain merupakan kapten kepada skuad kebangsaan Liberia.

Kita berharap beliau dapat menyumbang kepada pasukan Sarawak nanti,” katanya.

Hadir sama Timbalan Presiden FAS Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki, Naib Presiden FAS Haidel Heli, Duke Janteng, Razali Dolhan, Sazali Abdul Rahman, Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi dan Pengarah Urusan LEA Holdings, Raymond Sim. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment