KUCHING: Skuad memanah Sarawak sedang menjalani latihan pendedahan di Johor bermula semalam hingga 5 Julai depan sebagai persiapan terakhir untuk menghadapi SUKMA XVIII berlangsung dari 23 hingga 29 Julai di UNIMAS.
Ketua Jurulatih Abdul Razak Yaacob menegaskan atlet juga akan mengikuti perlawanan persahabatan dengan skuad tempatan sepanjang latihan itu nanti.
“Saya harap atlet akan menggunakan sepenuhnya latihan ini untuk meningkatkan lagi kemahiran serta pengalaman bersaing dalam pertandingan sebenar,” jelas bekas atlet dan jurulatih negara itu.
Menurut Razak, anak-anak buahnya telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad SUKMA Pulau Pinang pada 15-23 Jun lepas dan berjaya membawa pulang dua emas dan satu gangsa.
Esther Yong Yin Ze menyumbang emas dalam acara recurve 70m wanita dan gangsa dalam acara compound 50m.
Beliau juga membantu skuad negeri merangkul emas dalam acara berpasukan.
Sebaik kembali dari Johor, skuad negeri akan menjalani latihan berpusat di Kuching, tambah Razak lagi.
Skuad memanah Sarawak diwakili oleh Chio Chung Yin, Ting Kee Wei, Ngu Gao Teck, Mohd Haziq Halim, Wanthur Yong Tze Wang, Bryson Ting Tiew Lung, Jee Kouk Liang dan Muhammad Jeferi Mohd Khairi (pemanah lelaki).
Manakala pemanah wanita diwakili pemenang pingat emas SUKMA Perlis Kho Yee Ting, Vanessa Voon Li Ping, Esther Yong Yin Ze, Catherine Laura King, Cheryl Rudang Goh Pei Loke, Natasha Ting Sze Pei, Nurazwa Nabilah Mazlan dan Supang Yahya.
Halim Mohamad bertindak selaku Pengurus Pasukan.
No comments:
Post a Comment