Thursday, 30 June 2016

SUKMA 2016: 25 bas Rapid KL untuk kegunaan atlet, pegawai

BAS RAPID KL: Antara 30 kapten Bas Rapid KL yang akan bertugas sempena SUKMA XVIII di Sarawak.
KUCHING: Syarikat Rapid Bus Sdn Bhd meminjamkan 25 unit bas Rapid KL untuk kegunaan atlet dan pegawai pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18 dan Sukan Paralimpiad Ke-18 yang akan berlangsung di Sarawak tidak lama lagi.

Kesemua bas tersebut sedang dalam perjalanan ke Kuching dijangka tiba pada 4 Julai depan dan dikendalikan oleh seramai 30 kapten bas yang akan tiba di sini pada 10 Julai depan.

Ia akan diserahkan kepada Sekretariat SUKMA Sarawak 2016 pada 11 Julai depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee merakamkan terima kasih kepada syarikat terbabit atas kesudian meminjamkan kenderaan berkenaan untuk kegunaan semasa penganjuran dua temasya sukan itu.

“Penggunaan bas Rapid KL sangat sesuai kerana mempunyai ruang dalaman yang luas serta dapat memuatkan lebih ramai penumpang.

“Selain itu, ia juga direka khas bagi kegunaan atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mempunyai laluan khas untuk memudahkan pergerakan atletatlet OKU yang berkerusi roda,” katanya di sini semalam.

Seramai 6,000 atlet dan pegawai akan berkampung di sini dari 22 hingga 31 Julai depan bagi menghadapi temasya SUKMA XVIII.

Manakala lebih 1,500 atlet OKU dijangka mengambil bahagian pada temasya Sukan Paralimpiad Ke-18 yang akan berlangsung dari 5 hingga 12 Ogos depan.
 

No comments:

Post a Comment