Saturday, 16 July 2016

SUKMA 2016: Insentif khas SLTA jika raih emas

Raymond (tiga kiri) menyerahkan baju rasmi kontinjen tenis SUKMA Sarawak kepada Patrick bersama Ramliee (kanan).
KUCHING: Atlet tenis yang berjaya meraih pingat emas pada SUKMA Ke-18 bakal menerima insentif khas sumbangan Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA).

Janji itu dinyatakan oleh Presiden SLTA Datuk Patrick Liew namun enggan menyatakan jumlah insentif yang bakal diterima pemenang.

“Ya kita akan menyediakan insentif khas kepada pemenang pingat emas, namun jumlahnya masih belum ditetapkan,” katanya semasa Majlis Penyerahan Tajaan dari Lea Sports Centre (LSC) bertempat di SLTA semalam.

Menurut Patrick, meskipun SLTA hanya menyasarkan dua pingat emas pada temasya kali ini, beliau yakin akan ada kejutan dilakar pemain Sarawak.

Ia mengambil kira persiapan rapi skuad dengan beberapa pemain telah menjalani latihan selama lima bulan di Amerika Syarikat, Romania, Jeman dan Australia.

Katanya, pemain harapan Aslina Chua yang juga pemenang pingat emas pada SUKMA 2014 Perlis akan tiba pada Ahad ini dari Amerika Syarikat untuk menyertai skuad.

Patrick turut merakamkan setinggi penghargaan terhadap LSC kerana sudi menaja kontinjen tenis Sarawak.

“Sokongan LSC akan mencetus semangat atlet untuk memberikan yang terbaik pada SUKMA nanti,” katanya.

Beliau juga menyatakan SLTA bersedia memberikan layanan secara profesional kepada semua kontinjen yang akan berkampung di pusat itu kelak.

Hadir sama Pengarah Urusan LEA Group, Raymond Sim dan Koordinator Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Ramliee Ahmad. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment