Friday, 1 July 2016

SUKMA 2016: Jackson Ting yakin wira Sarawak mampu lakukan kejutan untuk perolehi lebih daripada 4 emas

July 1, 2016
KUCHING: Persatuan Boling Amatur Sarawak (ABAS) optimis dapat menyumbang empat pingat emas pada SUKMA Ke-18 yang berlangsung di Sarawak Megalanes, Emart Batu Kawah dari 24 hingga 31 Julai 2016.

Mengikut perhitungan Ketua Jurulatih Jackson Ting, skuad itu berpeluang meraih emas dalam acara beregu lelaki, beregu wanita, berpasukan lelaki dan berpasukan wanita.

“Sasaran ditetapkan oleh Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) adalah empat emas tetapi bagi saya lebih banyak lebih bagus. Kita juga menjangka berlaku kejutan dalam acara perseorangan dan bertiga,” katanya.

Secara keseluruhan sebanyak 11 pingat emas dipertandingkan menerusi acara beregu campuran, perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, berti-ga, berpasukan dan masters.

Acara tersebut sebelumnya mempertandingkan 13 pingat emas namun diubah kepada 11 selepas acara ‘all-events’ lelaki dan wanita dibatalkan.

Kontinjen tenpin boling Sarawak dinobatkan juara keseluruhan pada SUKMA 2014 di Perlis selepas merangkul enam emas, lima perak dan dua gangsa.

Pada SUKMA 2012 di Pahang, Sarawak memenangi dua emas, tiga perak dan dua gangsa sementara di Melaka (2010), mereka menggondol tujuh emas, tiga perak dan dua gangsa sekali gus ditabal juara keseluruhan.

Menurut Ting, cabaran kali ini dijangka sangat sengit kerana tiga pemain berpengalaman Daniel Tan, Jonathan Ding Sagan dan Jackelyn Ng yang menghadiahkan emas pada SUKMA Perlis tidak lagi bertanding kerana terlebih umur.

“Jika dibandingkan dengan skuad dua tahun lepas, kemampuan skuad kali ini tidak banyak bezanya Cuma mereka kurang pen-galaman bersaing dalam kejohanan kompetitif.

“Justeru, kita telah menghantar mereka menyertai pertandingan di luar seperti Terbuka Thailand, Terbuka Malaysia, Terbuka Kuala Lumpur, Kejohanan Antara Bandaraya Asian, Remaja All-Starts dan Filipina PIBA,” tambah Ting.

Bagi memberi fokus terhadap SUKMA kali ini, Ting berkata empat atlet tidak menyertai Kejohanan Remaja Dunia yang akan diad-kaan di Las Vegas, Amerika Syarikat kerana tarikhnya bertindih dengan SUKMA XVIII.

Jurulatih itu berkata Selangor dan Kuala Lumpur menjadi skuad yang perlu Sarawak tangani sambil menjangkakan Pahang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga akan memberi cabaran dalam acara perseorangan.

Berbekalkan kelebihan bermain di tempat sendiri, Ting percaya atlet Sarawak mampu mengatasi tentangan dari 12 negeri termasuk Wilayah Persekutuan dan Brunei Darussalam sekali gus mengekalkan ke-juaraan dalam acara tersebut.

Sarawak diwakili Christopher Tiong Lee Siong, Mohd Syafiq Sajeli, Mohd Uzair Irsyad Noor Azrul, Abang Afiq Yazid Abang Azman, Ervin Lim Wai Mun, Musayyar Khalid (lelaki), Jocelyn Judith Jonathan, Nerosha Keligit Thiagarajan, Jacelyn Ng Shuh Wun, Gillian Lim Siew Giok, Nur Syafiqah Sajeli dan Nur Aina Kamalia Abdul Ayub (wanita).

Jackson turut dibantu Angelo Koay (penolong jurulatih), Foong Tak Meng (jurulatih teknikal) manakala Robert Lu bertindak selaku Pengurus Pasukan. -UtusanBorneo

No comments:

Post a Comment