KUCHING: Jawatankuasa Pengelola Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII Sarawak 2016 akan memastikan setiap venue pertandingan berada dalam keadaan terbaik bagi mengelak sebarang isu berbangkit ditimbulkan.
Bercakap pada sidang media semalam, Pengerusinya Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, pihaknya akan terus memastikan perkara tidak diingini tidak berlaku sehingga boleh menjejaskan imej negeri dalam penganjuran sukan berprestij tanah air.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu venue acara berbasikal di Jalan Samariang- FAC yang hanya menggunakan ‘scaffolding’ untuk menandakan garisan penamat yang viral di laman sosial.
“Setakat ini dari segi pengurusan penganjuran berjalan lancar, namun kita kesal dengan perkara ini, dan akan berusaha untuk memastikan tidak ada lagi timbul isu tidak ‘cantik’ di venue berbasikal,” katanya.
Dalam pada itu, Morshidi turut mendedahkan konsep ‘bapa angkat’ yang dilaksanakan bagi membantu kontinjen negeri mendapat komen postif daripada pegawai dan atlet.
Menurutnya, ‘bapa angkat’ yang dilantik untuk menguruskan kontinjen negeri dengan memberikan perkhidmatan terbaik.
“Mereka mendapat pujian, malah komen yang baik daripada wakil pegawai kontinjen negeri lain yang datang ke Sarawak,” ujarnya.
Terdahulu, pada sidang media itu Morshidi berkata seramai 3,600 pegawai dan atlet telah berada di Sarawak manakala baki 2,083 lagi, katanya, akan tiba di Sarawak mulai hari ini sehingga 23 Julai.
Beliau turut menyeru agar orang ramai datang menghadiri majlis perasmian SUKMA 2016 di Stadium Sarawak pada Sabtu ini.
Pengunjung yang datang berpeluang untuk memenangi hadiah lumayan menerusi sesi cabutan tiket bertuah yang akan diadakan pada majlis perasmian tersebut. -UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment