Sunday, 3 July 2016

Atlet diingat bersederhana sambut Raya


KUALA LUMPUR: Atlet negara, baik elit mahupun pelapis diingatkan supaya bersederhana ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“…makan dalam kesederhanaan. Kalau tahu makanan itu berminyak, berlemak, boleh jamah tetapi sedikit. Semua atlet tahu apa yang patut dibuat, tidak ada istilah tempoh rehat seluruhnya.

“Kita boleh makan dan kita perlu juga ada masa melibatkan diri dalam aktiviti fizikal…regangan, buat pergerakan. Mereka boleh menikmati makanan, latihan dan juga berhari raya,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Zawawi Zakaria kepada Bernama.

Ahmad Zawawi, yang mempunyai kepakaran dalam bidang pemakanan dan nutrisi, berkata ISN telah mengeluarkan garis panduan khusus mengenai pemakanan sepanjang Ramadan kepada semua atlet.

Mengenai keadaan cuaca panas melampau terutamanya pada minggu-minggu akhir Ramadan ini, beliau mengingatkan semua atlet supaya minum air secukupnya bagi mengelak dehidrasi.

“Menjelang akhir-akhir Ramadan ini, cuaca agak kering dan saya nasihatkan kepada semua atlet Muslim yang sedang berpuasa supaya tidak lupa untuk minum air dengan cukup.

“Cara paling berkesan untuk mengelak penghidratan adalah minum air dari semasa ke semasa selepas berbuka puasa, bukannya meminumnya dalam jumlah yang banyak dalam satu masa,” katanya.

Ahmad Zawawi juga menasihatkan atlet dalam pengambilan bahan cecair dan mereka perlu mengelak minuman yang mengandungi kafein.

Ahmad Zawawi berkata dengan diet, penghidratan dan tidur yang mencukupi, atlet boleh terus mengekalkan prestasi tetapi dengan syarat mereka meneruskan latihan mengikut jadual. -Bernama
  

No comments:

Post a Comment