BERSEDIA: Sharkawi (kiri) dan Sura (kanan) bersama sebahagian daripada skuad sepak takraw lelaki dan wanita Sarawak. |
KUCHING (HarryIlias): Skuad sepak takraw lelaki dan wanita Sarawak bersedia menggegarkan Stadium Tertutup Miri untuk memburu pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-18 yang akan berlangsung dari 23 hingga 30 Julai ini.
Sekalipun tidak meletakkan sasaran emas, skuad yang dikendalikan oleh jurulatih dari Thailand, Sura Matawangsang itu tetap optimis dapat menghadiahkan pingat buat kontinjen Sarawak.
Penolong Jurulatihnya, Sharkawi Taibi berkata Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) mensasarkan pingat dalam acara berpasukan, beregu dan berdua lelaki dan wanita.
“PSS meletakkan keyakinan skuad sepak takraw negeri mampu menghadiahkan pingat dengan sasaran diletakkan dalam acara berpasukan, beregu dan berdua lelaki dan wanita.
“Apapun, jika kita berjaya meraih emas atau perak ia adalah bonus untuk skuad,” katanya di sini semalam.
Menurut Sharkawi, bagi merealisasikan misi itu skuad sepak takraw Sarawak menjalani latihan keras di gelanggang Persatuan Sepak Takraw Sarawak dengan latihan diadakan dalam dua sesi iaitu 3.30 hingga 6 petang dan bersambung 9.30 hingga 12 malam.
Selain itu, pemain-pemain juga dibawa menimba pengalaman di negara luar dan skuad lelaki menjalani latihan di Bangkok, Thailand pada Mei lalu manakala skuad wanita berlatih di Kota Semarang, Jawa Tengah selama sebulan pada Februari lalu.
“Pemain-pemain semakin menunjukkan peningkatan positif selepas menjalani latihan intensif di luar negara. Semangat mereka juga amat tinggi ketika ini dan bersedia menggalas tanggungjawab untuk menyumbang pingat buat kontinjen Sarawak,” katanya.
Selain Sura dan Sharkawi, skuad itu turut dilatih Ahmad Sairi selaku penolong jurulatih.
Untuk SUKMA XVIII ini, Sarawak mempertaruhkan 15 pemain lelaki dan 15 wanita.
Pemain lelaki terdiri Arif Syazwan Mazlan, Asyafiq Razif Ghazali, Mohd Rizal Mohd Salleh, Fahzrul Shah Abdul Khalik, Farren Brayun Matuh, Tonny Kanang, Mohd Asraf Abdullah, Mohd Haizam Morshidi, Mohd Nasrul Rosli, Muhaimin Sahari, Aswandi Sadri, Mohd Rafeydaniel Jamil Ambia, Christian Veiri Geramong, Ronaldo Timban dan Fahzee Shah Abdul Khalik.
Pemain wanita ialah Fitiriah Mohd Kadir, Nor Atikah Mohd Kadir, Priscella Baby Kueh, Suziana Mothar, Brenda David, Gloria Lema Peter, Catherine Minah Langgan, Nur Asmida Rambli, Sharifah Fifi Nurulyana Wan Muhammad Abdul Rahim, Adelind Mandal, Adeunie Nari, Nur Arif Shafiqah, Nur Shazwany Rezali, Dorriny Luie dan Nur Anisa Ramli.
Skuad sepak takraw Sarawak sedang bercuti dan akan berlepas ke Miri bermula 10 Julai ini.
Kali terakhir Sarawak memenangi pingat dalam acara sepak takraw pada SUKMA 2012 di Pahang apabila beregu wanita berjaya menggondol perak selepas tewas kepada Pulau Pinang dalam acara berpasukan. -UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment