KUCHING: Pencapaian memberangsangkan Sarawak pada Kejohanan Gimnastik Jemputan Terbuka Singapura baru-baru ini diharap menjadi perangsang atlet-atlet negeri menampilkan aksi terbaik pada SUKMA XVIII yang akan berlangsung dari 28-30 Julai depan.
Audrey Jude dan Cassandra Lavigne Shelden mencipta kejutan apabila berjaya menggondol tiga perak selain mengatasi tiga atlet pelapis kebangsaan yang hanya memenangi satu gangsa dalam acara batang titian pada kejohanan berlangsung di Dewan Sukan Bishan Singapura dari 3 hingga 5 Jun lalu.
Kedua-duanya beraksi dalam kategori FIG Dua Remaja Wanita Junior 13- 15 Tahun.
Audrey merangkul perak dalam acara melombol dan senaman lantai manakala Cassandra dalam acara palang bertingkat.
Jurulatih Gergana Kostadinova Momchilova dari Bulgaria yang mengiringi kedua-dua atlet itu jelas gembira dengan pencapaian di luar jangkaan oleh Audrey dan Cassandra.
“Atlet-atlet kita telah beraksi dengan baik malah mencatat keputusan cemerlang berbanding atlet-atlet pelapis kebangsaan.
Saya amat bangga dan berharap kejayaan ini menjadi motovasi kepada mereka beraksi cemerlang pada SUKMA XVIII nanti.
“Saya yakin jika mereka tidak melakukan kesilapan pada hari pertandingan, mereka berpeluang memenangi pingat meskipun terpaksa bersaing dengan atlet kebangsaan,” katanya di sini semalam.
Sarawak mempertaruhkan enam atlet wanita dan dua lelaki dalam acara gimnastik artistik diketuai oleh Esmelda Arecia dan Nur Amira Idayah.
Acara tersebut mempertaruhkan sejumlah 14 pingat emas dan Sarawak mensasarkan satu pingat emas. -UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment