KUCHING: Atlet-atlet bina badan veteran wajar mendapat penghargaan seperti yang diberikan kepada atlet-atlet pada masa ini, kata Presiden Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA), Datuk Wee Hong Seng.
Menurutnya, atlet-atlet veteran seperti Soloman Esmanto, Allahyarham Bujang Taha dan Liaw Teck Leong telah berhempas pulas dalam keadaan serba kekurangan demi membawa nama baik Malaysia di persada antarabangsa.
“Sudah tiba masanya atlet- atlet veteran kita dikurniakan penghormatan dan insentif sama seperti yang dianugerahkan kepada atlet-atlet baharu,” katanya pada perasmian Kejuaraan Bina Badan Mr Boulevard/Mr BBS 2016 edisi ketiga di sini semalam.
Seramai 48 peserta mengambil bahagian pada kejohanan itu dalam empat kategori iaitu 70kg ke bawah, 70kg ke atas, 170 sentimeter ke bawah dan 170 sentimeter ke atas.
Wee berharap kementerian, jabatan dan agensi berkaitan baik di peringkat negeri dan persekutuan dapat melihat perkara ini dengan serius.
Jangan kita lupakan jasa yang disumbangkan oleh atlet-atlet veteran.
“Saya berharap kenyataan ini tidaklah disalah-ertikan. Bukan saya menidakkan kejayaan atlet-atlet muda kita yang berjaya mengharumkan nama negara sehingga ke peringkat Olimpik. Bagi saya, mereka memang layak menerima ganjaran dan insentif setimpal atas usaha keras mereka selama ini,” katanya.
Wee menjelaskan, jasa dan sumbangan atlet-atlet emas wajar dihargai kerana mereka telah berjuang untuk negara tanpa sebarang insentif dan kemudahan seperti yang ada hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) melahirkan rasa gembira atas kejayaan Sarawak mengukuhkan statusnya sebagai yang terbaik dalam arena bina badan Malaysia.
Katanya, kejayaan Sarawak muncul juara keseluruhan Mr Malaysia selama tiga tahun berturut-turut juga melengkapkan misi peribadinya sejak menduduki kerusi presiden pada 2009.
“Sukan ini, biarpun sudah menunjukkan kegemilangannya di peringkat tempatan dan global masih lagi terpinggir berbanding sukan-sukan lain di Malaysia. Saya merupakan seorang realistik dan tidak memohon apa-apa bantuan tanpa menunjukkan justifikasi seperti rekod pencapaian yang cemerlang.
“Saya benar-benar berharap agar kementerian, jabatan dan agensi terbabit dapat membuat penilaian yang sepatutnya ke atas beberapa aspek seperti peruntukan, sokongan dan kemudahan sukan bina badan, antara sukan sudahpun membuktikan kapasitinya membawa kejayaan negara,” katanya.
Wee sempat merakam tahniah kepada barisan hakim bina badan Sarawak yang telah lulus peperiksaan penghakiman dikendalikan oleh MBBF pada Kejuaraan Mr Malaysia 2016 di Sibu, Mei lalu.
Beliau juga berharap tiga atlet Sarawak iaitu Buda Anchah, Malvern Abdullah dan Awang Mohamad Azizul Ghani dapat mengharumkan nama negara pada Kejuaraan Mr Asia 2016 di Bhutan, September depan.
No comments:
Post a Comment