Thursday, 25 August 2016

Sembang bola dengan Alan Vest

 
KUCHING: Sarawak perlu memperkasakan program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi untuk mengembangkan lagi sukan nombor satu itu di negeri ini.

Saranan itu disuarakan oleh bekas jurulatih Sarawak, Alan Vest, kepada wartawan Utusan Borneo, sambil menegaskan tanpa program pembangunan yang kukuh dan berterusan, mutu bola sepak negeri ini akan terus ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

“Ya sudah tentu Sarawak amat memerlukan program pembangunan akar umbi kerana negeri ini amat besar dan saya yakin ada ramai pemain berbakat yang boleh dicungkil.

“Ia aspek yang perlu diberi penekanan secara serius untuk memajukan lagi bola sepak di Sarawak,” katanya ketika ditemuramah di sini semalam.

Jelas beliau, Sarawak perlu mencontohi kejayaan program pembangunan di negara luar seperti di Australia dalam melahirkan ramai pemain bola sepak yang telah berjaya di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, program pembangunan di Australia tidak jauh berbeza dengan apa yang dibuat di sini, cuma ia dilaksanakan secara lebih tersusun dan berterusan.

“Justeru, sokongan antara semua pihak terhadap persatuan bola sepak negeri amat penting untuk memastikan setiap yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan membuahkan hasil yang diharapkan,” jelas beliau.

Pada masa sama, beliau menyarankan agar lebih banyak kejohanan bola sepak di peringkat tempatan dianjurkan secara kerap sebagai landasan kepada pemain mengasah bakat agar dapat bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Bekas Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Sarawak (SFDP) itu juga gembira apabila mengetahui beberapa pemain dari program tersebut semakin menyerlah dan diserap ke dalam skuad negeri ketika ini.

D itanya sama ada beliau ingin kembali mengemudi Sarawak jika diberi peluang, Alan berkata beliau tetap bersedia untuk menabur bakti dengan negeri yang dianggapnya sebagai ‘second home.’

Alan, 77, sedang bercuti selama dua hari di Malaysia bersama bekas jurulatih dari Australia, Mike Brennan dan akan bertolak ke Pulau Pinang hari ini.

Beliau pernah mengemudi Sarawak dari 1990 hingga 1998 dan membawa skuad itu menjulang tiga trofi, Piala FA (1992), Liga Perdana (1997) dan Piala Sumbangsih (1998). -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment