Sunday, 28 August 2016

SABERKAS bantu Sarawak muncul sebagai 'kuasa sukan'

MAJUKAN SUKAN: Abang Johari (kiri) pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tertinggi SABERKAS di Kuching semalam.
KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) komited membantu kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai sebuah ‘Negeri Kuasa Sukan’.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata pertubuhan itu terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha mengenal pasti sukan berpotensi diketengahkan serta mampu menaikkan nama Sarawak ke peringkat lebih tinggi.

“SABERKAS memainkan peranan penting untuk melahirkan atlet-atlet dari negeri ini yang berwibawa pada masa hadapan.

“Dengan itu, SABERKAS akan menganjurkan banyak kejohanan berkaitan sukan berpotensi yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri dan menggunakan semua infrastruktur sukan yang dibangunkan di negeri ini.

“Justeru itu, peruntukan sejumlah RM400 juta bagi menyediakan infrastruktur sukan untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya dan menumpukan usaha membangunkan sukan di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tertinggi SABERKAS Negeri di sini semalam.

Beliau yang juga presiden SABERKAS memberi contoh sukan menyelam dan renang antara sukan berpotensi harus diberi penekanan.

Menteri Perumahan, Urbanisasi serta Pelacongan, Kesenian dan Kebudayaan itu berkata, SABERKAS juga akan melatih calon atlet-atlet sejak bangku sekolah dengan menggunakan segala infrastruktur dan prasarana sedia ada.

“Kita mahu setiap apa kemudahan yang disediakan kerajaan untuk pelbagai sukan digunakan sebaik-baiknya dalam usaha melahirkan serta melatih lebih ramai atlet untuk masa depan. Jika tidak, kemudahan yang ada hanya dibiar dan tidak digunakan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari turut mendedahkan hasil mesyuarat jawatankuasa itu bersetuju sebulat suara mengadakan mesyuarat agung tiga tahun sekali (TGM) pertubuhan itu pada Mac tahun hadapan.

“Kita memutuskan bahawa unit dan cawangan SABERKAS perlu mengadakan mesyuarat masing-masing supaya kita dapat mengadakan TGM pada Mac 2017 dan saya berharap peringkat unit dan cawangan akan habis bermesyuarat selewat-lewatnya Januari tahun depan,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agungnya, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata SABERKAS juga meningkatkan pengelolaan acara sukan setiap peringkat cawangan dan unit bagi menonjol bakat-bakat baharu dalam acara sukan yang mampu dilonjakkan anak-anak muda dan belia tempatan.

Katanya, usaha itu memberi fokus kawasan luar bandar negeri ini kerana dipercayai ramai generasi muda berbakat dan mempunyai kemahiran tersendiri dalam pelbagai jenis sukan.

“Untuk tujuan itu, kita bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Majlis Sukan Negeri (MSN) mencungkil bakat-bakat muda yang boleh diasah dalam acara sukan yang mereka minati,” jelasnya.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) itu menjelaskan, setakat Ogos lalu keahlian baharu SABERKAS seramai 30,532 manakala 916 ahli merupakan Kelab SABERKAS dari lima buah institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Metropolitan, i-CATS dan Universiti Swinburne.

“SABERKAS mempunyai 72 cawangan seluruh negeri mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ditambah kepada 82 cawangan pada mesyuarat agung tahun depan manakala terdapat sebanyak 199 unit seluruh Sarawak,” katanya.
    

No comments:

Post a Comment