Friday, 5 August 2016

PARALIMPIAD: 80 pingat emas sasaran Sarawak

 
KUCHING: Sebanyak 80 pingat emas disasarkan kontinjen negeri untuk terus mempertahankan kejuaraan bagi kali ke-12 pada Kejohanan Paralimpiad Malaysia XVIII yang berlangsung di sini bermula 6 hingga 10 Ogos ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah berkata sasaran pingat emas tersebut ditetapkan menerusi acara renang, olahraga, pingpong, catur, badminton, boling tenpin dan angkat berat.

“Kita menyasarkan 38 emas bagi acara renang, olahraga 30 emas, tenpin boling lima emas, angkat berat empat emas serta satu emas masing- masing acara pingpong, catur dan badminton,” katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak Ke Kejohanan Paralimpiad Malaysia Ke-18 Sarawak 2016 di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Sarawak di sini semalam.

Turut hadir Chef-De-Mission (CDM) yang juga Menteri Muda Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Dr Abdul Rahman Ismail serta penolong-penolong CDM merangkap Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Abang Shamsudin Abang Seruji, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak Abdul Haris Ishak dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rokayah Madon.

Fatimah berkata, kontinjen Sarawak dengan kekuatan 201 atlet dan 77 pegawai menyertai semua sembilan acara dipertandingkan iaitu catur, olahraga, renang, angkat berat, badminton, pingpong, boling padang, boling tenpin dan memanah.

“Jumlah kontinjen Sarawak merupakan yang terbesar berbanding kontinjen dari negerinegeri lain,” katanya.

Sementara itu, Dr Abdul Rahman berkata kekuatan kontinjen Sarawak adalah daripada dua orang atlet podium dalam acara renang dan angkat berat iaitu Jamery Siga dan Jong Yee Khie.

Selain itu, katanya seramai 15 orang atlet elit turut menyertai acara seperti renang, olahraga, boling tenpin, angkat berat dan pingpong.

Kontinjen Sarawak telah menjalankan latihan berpusat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri sejak 27 Julai lalu hingga 4 Ogos ini sebagai persiapan akhir bagi menghadapi kejohanan itu dengan latihan serta penyesuaian kepada keadaan pusat akuatik dan stadium serta gelanggang sebenar.

Sarawak merupakan juara Kejohanan Paralimpiad Malaysia sebanyak 11 kali berturut- turut iaitu dari 1994 hingga 2014.

Pada kejohanan edisi ke-17 di Perlis pada 2014, kontinjen negeri telah merangkul 66 emas, 44 perak dan 22 gangsa. -UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment