Thursday, 25 August 2016

Prtasarathee wakili negara dalam kejohanan dunia remaja

KIBAR CABARAN: Prtasarathee (kiri) bergambar bersama dengan peserta lain di KLIA sebelum berlepas semalam.
KUCHING: Atlet Kelab Muaythai SS Fighters dari Sarawak, Prtasarathee Punniyamoorthy dipilih untuk mewakili negara pada Kejohanan Dunia Remaja Persekutuan Antarabangsa Muaythai Amatur (IFMA) yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand dari 24 Ogos hingga 1 September 2016.

Pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pending itu mendapat kepercayaan Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) selepas mempamer aksi cemerlang pada Kejohanan Muaythai WMC/PMM Pro Remaja Kebangsaan 2016 yang diadakan di South City Plaza Sri Kembangan pada 20 dan 21 Ogos lepas.

Meskipun tewas di peringkat suku akhir pada kejohanan tersebut, potensi yang ditunjukkan oleh Prtasarathee membolehkan beliau dipilih bersama lapan petinju lain mewakili pelbagai kelab dari seluruh negara.

Menurut PMM, Prtasarathee telah membuktikan kemampuannya untuk bersaing di peringkat kebangsaan selepas penyertaannya dalam Kejohanan Muaythai Antara Sekolah-Sekolah KPM dan Remaja Kebangsaan 2016 yang diadakan sebelum ini.

Lapan peserta lain yang terpilih ialah Zulhilmi Rosli, Muhammad Azrizal Azman, Aiman Nazmin Muhammad Nizam, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, Siti Nur Fadiiah Ailul Hailan, Nur Amisha Azril Rizal, Nurul Syahirah Shahrin Borhan dan Muhammad Azrizal Azizul Azman.

Mereka akan diiringi Md Fared Md Urep sebagai pengurus skuad lelaki dan Nina sebagai pengurus skuad perempuan.

Dijangka seramai 800 petinju muaythai dari seluruh negara akan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut. -UtusanBorneo
 

No comments:

Post a Comment