Saturday, 25 June 2016

SUKMA 2016: Sarawak uji kekuatan gempur Negeri Sembilan dan Melaka

TINGKAT PERSIAPAN: Safri (kanan) sedang memerhatikan pemain menjalani latihan.

KUCHING (Harry Illias): Skuad bola sepak SUKMA Sarawak akan mengadakan ‘sparring’ dengan Negeri Sembilan dan Melaka bagi menguji kemampuan pemain sebelum mengharungi temasya sebenar bermula 19 Julai depan.

Menurut Penolong Jurulatih Safri Amit, perlawanan persahabatan menentang Negeri Sembilan akan diadakan pada 8 Julai bertempat di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Manakala, perlawanan menentang Melaka akan dilangsungkan di Stadium Mini UiTM Lendu pada 11 Julai.

Kedua-dua pertemuan itu akan bermula jam 4.45 petang.

“Perlawanan persahabatan ini sangat penting bagi menguji kemampuan pemain selain sebagai landasan untuk meningkatkan prestasi serta memperbaiki apa jua kelemahan dalam skuad,” beliau berkata ketika mengulas perkara itu semalam.

Tegasnya, masa yang terhad membataskan latihan skuad ketika ini memandangkan Sarawak akan memulakan kempen pada 20 Julai depan menentang Terengganu di Stadium Negeri, Petra Jaya.

Ia disusuli perlawanan kedua peringkat kumpulan menentang Wilayah Persekutuan pada 24 Julai di venue sama dengan kedua-dua perlawanan akan bermula jam 8.45 malam.

Menjelas lanjut, Safri berkata cuti anak-anak buahnya pada Hari Raya Aidilfitri juga dipendekkan kerana mereka akan berlepas ke Semenanjung bermula 8 Julai untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

Terdahulu, menurut Safri, anak didiknya akan diuji juara Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2015-2016, Kuching pada hujung minggu ini selain menentang skuad Sarawak pada 3 Julai nanti.

Pada SUKMA kali ini, Sarawak diundi dalam Kumpulan C bersama Terengganu dan Wilayah Persekutuan.

Undian kumpulan lain menyaksikan Johor, Melaka, Selangor dan Perlis beraksi dalam Kumpulan A.

Kedah, Sabah dan Pahang pula bersaing dalam Kumpulan B manakala juara bertahan Perak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berentap dalam Kumpulan D.
 

No comments:

Post a Comment