Sunday, 26 June 2016

SUKMA 2016: Ujian doping secara rawak – MSN

Ahmad Shapawi
KOTA BHARU (Kosmo): MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan melakukan ujian doping secara rawak ke atas atlet yang beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak pada 22 Julai hingga 31 Julai depan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, perkara tersebut sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Kita akan bekerjasama dengan Agensi Antidoping Malaysia (Andamas) untuk me­lakukan ujian tersebut bagi memastikan tiada atlet terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang.

“Bukan itu sahaja, MSN juga akan melakukan ‘breath analyzer’ yang melibatkan alkohol dan sebagainya bagi memastikan semua atlet Sukma 2016 bebas daripada anasir-anasir luar,” kata Shapawi ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK) Kali Ke-92 dan Majlis Berbuka Puasa, di Kota Bharu malam kelmarin.


Turut hadir, Penasihat Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK), Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Bekas Pengerusi MSNK, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, Pengerusi MSNK, Datuk Rosmadi Ismail dan Pengarah MSNK, Datuk Mohamed Nordin Awang.

Shapawi memberitahu, sekiranya ada atlet yang terlibat dengan isu doping, mereka bakal berdepan penggantungan secara automatik seperti ditetapkan oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA).

“Hukuman ini standard, tidak kira Sukma atau sebagainya. Jika ada atlet yang positif, mereka bakal berdepan penggantungan secara automatik.

“Kita mengikut standard antarabangsa yang telah ditetapkan dan Malaysia adalah antara negara yang mendukung peraturan membabitkan penyalahgunaan bahan terlarang dalam sukan,” ujarnya.
 

No comments:

Post a Comment